Bersama Ke Arah Kecemerlangan
Penafian : Jabatan Perkhidmatan Veterinar tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang
dialami kerana menggunakan sebarang maklumat yang terdapat di dalam Laman Web ini.

 
Pilihan Bahasa
Malay , English
ARTIKEL KERATAN AKHBAR  
Harga siling ayam standard, super turun
<< Kembali >>

Ditulis oleh Administrator
30 March 2006

Oleh Shamshul Azree Samshir Berita Harian

PUTRAJAYA: Harga siling ayam standard dan ayam super, masing-masing dikurangkan daripada RM6 kepada RM5.40 dan RM6.70 kepada RM6.05 sekilogram, berkuat kuasa sehingga 31 Oktober depan.

Berikutan itu, harga yang ditetapkan sebelum ini untuk dikuatkuasakan mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali dan Aidilfitri 2006 dibatalkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal (gambar), berkata sebarang pengumuman mengenai harga ayam selepas ini akan hanya dikeluarkan oleh kementeriannya.

“Tidak akan ada pengumuman mana-mana pihak kecuali kementerian berhubung barang kawalan... bukan hanya cili, malah ayam. Cuma kementerian saja yang akan mengumumkannya.

“Apa yang penting harga siling ayam yang ditetapkan itu tidak membebankan pengguna dan dapat mengurangkan kerugian ditanggung peruncit, pemborong dan pengeluar ayam,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Pada 20 September lalu, KPDNHEP mengumumkan harga ayam standard RM6 manakala harga ayam super RM6.70 melalui Skim Kawalan Harga Musim Perayaan 2006.

Ayam standard merujuk kepada ayam bersih berkaki, kepala, hati dan hempedal manakala ayam super ialah ayam bersih tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal.

Semalam, Pengerusi Unit Ayam Daging, Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia, Yap Kim Hwah dilaporkan berkata, kenaikan harga ayam disebabkan peningkatan mendadak terhadap permintaan ayam daging.

Mohd Shafie berkata, semua peniaga diberi amaran supaya patuh dengan penetapan harga ayam.

“Pegawai penguat kuasa di seluruh negara sudah diarah membuat pemantauan dan bertindak tegas ke atas peniaga ingkar,” katanya.

Beliau berkata, peniaga boleh menjual ayam lebih murah daripada harga ditetapkan tetapi tidak dibenarkan menjual pada harga lebih tinggi.

Kegagalan mematuhi penetapan harga ini suatu kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga 1946.

Bagi orang perseorangan, mereka boleh didenda sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM7,500. Bagi syarikat, denda maksimum RM25,000 atau boleh dikompaun sehingga RM12,500.

FAKTA NOMBOR: Skim Kawalan Harga

RM3.50 - Harga ladang ayam hidup (sekilogram)

RM4.00 - Harga borong ayam hidup

RM4.80 - Harga borong ayam bersih

RM4.50 - Harga runcit ayam hidup

 

Dikemaskini ( 08 October 2006 )