Bersama Ke Arah Kecemerlangan
Penafian : Jabatan Perkhidmatan Veterinar tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang
dialami kerana menggunakan sebarang maklumat yang terdapat di dalam Laman Web ini.

 
Pilihan Bahasa
Malay , English
ARTIKEL KERATAN AKHBAR  
Integrasi sistematik lembu daging, sawit menguntungkan
<< Kembali >>

Ditulis oleh Administrator
30 June 2005

PROJEK integrasi sistematik lembu daging dan sawit di Ladang Sungai Gayung dan Ladang Sungai Marung di Muadzam Shah, Pahang oleh syarikat Far East Holdings Bhd (FEHB) yang mengguna pakai teknologi MPOB, berjaya menghasilkan keuntungan dalam tempoh setahun pelaksanaannya.

Ketika berkongsi pengalaman pengkomersialan teknologi MPOB pada Seminar Pemindahan Teknologi 2004 baru-baru ini, Zulkifli Abdullah daripada FEHB menerangkan, bahawa hasil perbincangan bersama MPOB dan perancangan yang sempurna, projek integrasi ternakan lembu berjaya memberi pulangan hasil yang menguntungkan. Projek ini diperkenalkan untuk memaksimumkan penggunaan tanah serta mengoptimum pengeluaran ladang, menghasilkan keuntungan 3.4 kali ganda melalui nilai anak lembu dan penjimatan RM490,000 daripada aktiviti merumpai berbanding kos operasi RM144,345.

Menurut Pegawai Penyelidik Prinsipal MPOB, Dr Rosli Awaluddin, yang terbabit dalam pemindahan teknologi ternakan lembu di ladang berkenaan, kaedah sistematik integrasi ternakan lembu di ladang sawit yang diperkenalkan MPOB menggunakan teknologi yang mudah dan murah bagi mengurangkan kos penyenggaraan ladang dan meningkatkan pendapatan pengusaha ladang. Kaedah ini juga mesra alam kerana penggunaan racun rumpai dikurangkan dengan membiarkan ternakan meragut rumput di ladang menggunakan pagar elektrik mudah alih.

Konsep integrasi ternakan lembu di ladang sawit dapat memaksimumkan penggunaan tanah dan mengoptimumkan tenaga buruh. Ia sesuai diusahakan bagi kawasan ladang sawit matang (lebih lima tahun) yang pelepah sawitnya tinggi dan tidak tercapai oleh lembu. Apabila kawasan ragutan digunakan sepenuhnya, lembu perlu dipindah ke padok bersebelahan mengikut pusingan ditetapkan.

Mengimbas kembali usaha awal pelaksanaan projek ini, Zulkifli berkata, di FEHB penyediaan kawasan ragut untuk projek ini dimulakan setahun sebelumnya dengan membiarkan spesies rumpai yang sesuai dimakan lembu tumbuh meliar. Sebelum lembu ditempatkan di ladang, kawasan ini juga dipastikan bebas daripada binatang liar, sementara tangki air, pagar elektrik dan lain-lain alatan serta ubatan turut disediakan.

Katanya, dalam menyediakan tenaga kerja mahir untuk mengendalikan projek ini, kakitangan FEHB dilatih berhubung pengurusan lembu daging. Bengkel khusus cara mengurus lembu di ladang sawit juga diadakan.

“FEHB mula menempatkan lembu daging di ladang sawit pada Februari 2002. Sejumlah 800 lembu betina dan 50 lembu jantan yang dibahagikan kepada empat kumpulan di tempatkan dalam kawasan ragut seluas 4,000 hektar. Kawasan yang terpilih membabitkan kawasan pokok sawit berumur sekitar enam hingga sembilan tahun,” kata beliau.

Tugas mengendali sesuatu blok kawasan ragut menjadi mudah dengan penggunaan pagar elektrik mudah alih. Kemudahan lain yang turut disediakan di kawasan ragut adalah takungan air dan tempat menjilat garam galian. Rumpai yang tidak dimakan lembu akan dihapuskan selepas lembu dipindahkan ke kawasan lain. Menurut Zulkifli, projek integrasi di FEHB berjaya mengawal rumpai dengan berkesan tanpa meninggalkan sebarang impak kepada hasil sawit. Keadaan ladang yang bersih pula memudahkan kerja mengutip buah lerai.

“Pada kadar kelahiran 86% setahun, sejumlah 711 anak lembu dilahirkan dalam tempoh 2002/2003. Dalam tempuh satu tahun setengah, sejumlah 34 lembu betina dan 15 anak lembu mati, masing-masing pada tahap survival 97% dan 98.6% setahun. Semua lembu jantan hidup,” katanya.

Cabaran projek ini antaranya:

Sumber: Berita Harian 26 - 30 Jun 2005