Bersama
Ke Arah Kecemerlangan Penafian : Jabatan Perkhidmatan Veterinar tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan sebarang maklumat yang terdapat di dalam Laman Web ini. |
Pilihan
Bahasa |
Malay
, English |
| |
| ARTIKEL | KERATAN AKHBAR |
Ditulis oleh Administrator
30 June 2005
TAMU Kota Belud terletak di utara Sabah, memang cukup terkenal dan keunikannya meniti dari bibir ke bibir pelancong yang pernah mengunjungi kerana di samping pelbagai barangan istimewa dari makanan sehinggalah ke barangan kraftangan dapat diperoleh.
Namun satu yang lebih menarik di tamu ini adalah tradisi penjualan haiwan ternakan hidup termasuk kerbau yang diamalkan sejak sebelum era kemerdekaan sebelum terhenti awal 1990-an. Aktiviti itu dihidupkan semula hujung tahun lalu.
Penjualan kerbau hidup sebenarnya adalah antara keistimewaan tamu itu kerana aktiviti seumpama itu tiada di pasar tradisional lain di negara ini dan jika ada pun ia hanya membabitkan penjualan daging haiwan terbabit.
Kegiatan itu menyumbang kepada ekonomi penternak haiwan berkenaan kerana kewujudan tamu terbabit memudahkan mereka memasarkan ternakan tanpa perlu bersusah payah mencari peniaga dan orang tengah untuk membelinya.
Pada masa sama, penjualan kerbau di tamu yang beroperasi setiap Ahad itu sebenarnya menjadi produk untuk menarik kehadiran pelancong asing, sekali gus menjadi faktor penarik kepada mereka untuk melancong ke Sabah.
Pegawai Daerah Kota Belud, Edris Yahya, mengakui penjualan kerbau hidup di Tamu Kota Belud menjadi daya tarikan pelancong asing untuk melancong ke daerah yang dikenali sebagai `Pekan Koboi' itu.
Katanya, keunikan tamu itu turut mendapat pujian pelancong asing, sebagai contoh pelawat Australia yang ke sini mengakui selepas melawatnya mereka akan berkunjung semula pada lain masa untuk bersantai dan makan angin.
Beliau berkata, faktor itu membuktikan keunikan urus niaga di tamu, selain penjualan ternakan hidup menjadi daya tarikan kepada mereka untuk memilih destinasi itu sebagai lokasi idaman ketika melancong ke negeri ini.
"Tamu Kota Belud sememangnya unik dan keunikan itu ditambah lagi dengan operasi penjualan ternakan hidup termasuk kerbau dan budaya ini seharusnya dipertahankan," katanya.
Penjualan ternakan hidup di Tamu Kota Belud dihentikan pada awal 1990-an tetapi dihidupkan semula tahun lalu selepas mendapat desakan pelbagai pihak berikutan pendedahan oleh Berita Harian.
Daerah itu bagaikan kehilangan satu khazanah berharga berikutan penutupan operasi penjualan haiwan hidup manakala peralatan menimbang haiwan terbabit menjadi sasaran vandalisme.
Dalam laporan itu, penulis mencadangkan supaya operasi penjualan haiwan hidup dihidupkan semula kerana urus niaga berkenaan membantu penternak haiwan terbabit memasarkan ternakan dan pada masa sama ia menjadi daya tarikan pelancong.
Sekiranya tidak dapat berbuat demikian, lokasi itu boleh dijadikan sebagai kawasan rekreasi dengan membina arca kerbau sedang ditimbang atau ditambat untuk mengimbas kembali operasi penjualan ternakan itu.
Ini membolehkan generasi muda yang tidak sempat melihat operasi penjualan haiwan itu mengenali khazanah warisan nenek moyang mereka dan bagi pelancong terutama dari luar negara ia adalah tarikan istimewa.
Laporan itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang ketika itu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dan pemimpin tempatan lain.
Berikutan itu kegiatan itu dihidupkan semula dan upacara perasmian operasi jualan ternakan hidup di Tamu Kota Belud yang unik itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Abdul Rahim Ismail.
Mengenai penjualan ternakan hidup, Edris berkata, kerbau misalnya dijual pada harga antara RM800 hingga RM1,500 seekor dan ia akan meningkat bergantung kepada harga ternakan itu di pasaran semasa. Sebenarnya, selain penjualan kerbau, haiwan hidup lain turut dijual di tamu itu termasuk lembu, kambing, ayam, itik dan angsa yang mana harganya bergantung kepada permintaan di pasaran.
Ditanya mengenai peniaga, beliau berkata, sehingga kini lebih 300 peniaga tempatan membabitkan Kadazandusun, Bajau, Iranun, Ubian dan Cina berniaga di tamu itu dan cukai perniagaan dikenakan hanya sekitar RM2 saja.
Ini menjadikan kunjungan ke Tamu Kota Belud yang menjadi kebanggaan warga Negeri di Bawah Bayu amat istimewa kerana dapat menyaksikan masyarakat pelbagai kaum yang hidup secara harmoni bersama-sama mencari rezeki.
Selain haiwan hidup, turut dijual adalah pelbagai jenis kuih tradisional, keperluan harian termasuk beras, ikan, udang, kerang, sayur dan ulam, selain kraf tangan dan peralatan muzik tradisi masyarakat tempatan. Di tamu itu juga operasi menjual Parang Kota Belud iaitu kraf tangan masyarakat Bajau dijalankan dan peralatan itu dijual mengikut saiz dan kualiti iaitu antara RM25 hingga mencecah RM350.
Kraftangan lain termasuklah tudung saji, pemegang kunci dan topi, selain tikar tradisional bersulam mengikut budaya masyarakat yang menciptanya manakala alat muzik pula antaranya ialah sompoton yang terkenal di kalangan masyarakat Kadazandusun.
Kuih tradisional pula antaranya `penjaram', `berati' dan `penganan' yang sukar dicari di tamu lain di luar Kota Belud kecuali ada peniaga dari daerah itu yang berurus niaga di lokasi terbabit. Menariknya, kenderaan jenis `pick-up' atau dalam bahasa tempatan `pikap' masih digunakan sebagai pengangkutan awam yang digunakan hampir 90 peratus penduduk kampung di daerah itu.
Sumber: Berita Harian 26 - 30 Jun 2005
Dikemaskini ( 30 June 2005 )