Bersama
Ke Arah Kecemerlangan Penafian : Jabatan Perkhidmatan Veterinar tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan sebarang maklumat yang terdapat di dalam Laman Web ini. |
Pilihan
Bahasa |
Malay
, English |
| |
| ARTIKEL | KERATAN AKHBAR |
Ditulis oleh Administrator
30 June 2005
TAWAU : Wilayah Tawau kini menjadi pengeluar utama hasil ternakan ruminan dan berjaya memenuhi sebahagian keperluan pasaran di Sabah. Sehingga kini, terdapat sejumlah 40,000 ekor lembu pedaging sedang diternak menerusi Skim Program Integrasi Ternakan Ruminan (Pintar) dalam ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata hasil pengeluaran itu berjaya membantu usaha kerajaan meningkatkan tahap sara diri dalam pengeluaran daging ruminan. "Saya berpendapat Wilayah Tawau sesuai dan berpotensi untuk dibangunkan dengan ternakan lembu pedaging secara besar-besaran," katanya selepas melakukan tinjauan ke beberapa skim Pintar di Wilayah Tawau, baru-baru ini.
Antara skim dilawati ialah Skim Pintar Felda Sahabat; Skim Pintar Felcra Danum, Lahad Datu; Skim Pintar Felda Gugusan Umas; dan Skim Pintar Borneo Samudera dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS). Dalam lawatan itu, Abdul Rahim diiringi Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Abidin Madingkir; dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (JPHPT), Awang Sahak Awang Salleh.
Abdul Rahim, berkata pemeliharaan dan pembiakan ternakan lembu pedaging, kerbau dan kambing secara bersepadu atau Pintar di kawasan ladang kelapa sawit sudah terbukti berjaya meningkatkan ternakan ruminan tanpa menjejaskan hasil kelapa sawit.
Katanya, skim itu berjaya menghasilkan ternakan lembu dengan tahap pertumbuhan badan mencapai 200 hingga 250 kilogram dalam tempoh dua hingga dua setengah tahun. "Ini satu kegiatan ternakan lembu pedaging yang sungguh mudah dan boleh meningkatkan pendapatan pekebun atau perladangan sawit," katanya, sambil menyatakan pendapatan penternak juga sudah meningkat.
Dalam tinjauan ke Gugusan Umas yang mempunyai seramai 8,500 penduduk, Abdul Rahim dimaklumkan purata pendapatan bulanan bersih penduduk di situ sekitar RM585 pada 2003 dan RM622 tahun lalu. "Keadaan itu bagaimanapun berbeza bagi penternak lembu dan kambing yang menternak secara pintar, mereka kini memperolehi pendapatan purata seorang RM1,570 sebulan," katanya.
Beliau turut memuji usaha seorang penternak, Manjor Datuk Mastan, yang berjaya menternak sejumlah 150 ekor lembu di kawasan Borneo Samudera seluas 500 hektar (1,200 ekar) di Apas Balong, di sini. Kawasan berkenaan disewa oleh Manjor sejak enam bulan lalu dan kini telah menunjukkan prestasi membanggakan. Di Kampung Wakuba pula, Abdul Rahim sempat melawat kandang memelihara kambing yang diusahakan oleh pengusaha tempatan, Samsudin Labandu, yang memelihara 500 ekor kambing dalam empat kandang.
Sumber : Berita Harian 26 - 30 Jun 2005