Bersama
Ke Arah Kecemerlangan Penafian : Jabatan Perkhidmatan Veterinar tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan sebarang maklumat yang terdapat di dalam Laman Web ini. |
Pilihan
Bahasa |
Malay
, English |
| |
| ARTIKEL | KERATAN AKHBAR |
Ditulis oleh Administrator
30 March 2006
KUCHING, 26 Feb (Bernama) -- Satu kajian baru-baru ini mengenai Program Bancian Burung Air Asia yang dijalankan di Semenanjung Buntal, dekat Santubong, kira-kira 40km dari sini, menunjukkan bahawa burung hijrah yang singgah makan di situ menunjukkan hasil negatif ujian jangkitan avian influenza atau selesema burung.
Pengerusi cawangan Kuching Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Oswald Braken berkata hari Ahad kajian bersama itu telah dijalankan oleh persatuan itu dan Jabatan Mikrobiologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) tahun lepas.
"Berdasarkan bancian itu, yang merekodkan 230 spesies burung di hutan dan kawasan pantai di sekitarnya, semenanjung itu mempunyai kepadatan burung hijrah yang tinggi, termasuk burung pucung, burung bangau dan burung-burung air yang lain," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata burung hijrah biasanya terbang menuju utara antara bulan Januari dan Februari, untuk balik semula ke hemisfera utara pada musim panas, setelah terbang ke sini untuk mencari makanan.
Mulai Selasa, kerajaan Sarawak mengharamkan import ayam itik dan hasil ternakan itu dari Semenanjung berikutan wabak selesema burung di Selangor.
Selain mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap penyeludupan burung hidup di kawasan sempadan, kerajaan negeri juga mengharamkan import burung hidup dan daging dari Kalimantan di Indonesia, yang telah melaporkan beberapa kematian akibat penyakit itu.
Braken, yang juga Pengurus Kanan (Pemuliharaan Biodiversiti) Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) berkata agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, termasuk SFC, telah mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mencegah penyakit itu daripada menular ke negeri ini.
Beliau berkata pegawai-pegawai SFC telah diarahkan turun padang untuk memantau dan memeriksa kemungkinan burung spesies tempatan turut dijangkiti penyakit itu.
Berdasarkan bancian yang dibuat terhadap burung daratan oleh SFC di kawasan persisiran Sematan, kira-kira 100km dari sini, beliau berkata tiada seekor pun daripada 2,000 ekor burung yang direkodkan mempunyai tanda-tanda penyakit itu yang boleh dilihat.
Bancian itu dijalankan antara 31 Dis tahun lepas dan 10 Feb tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan biodiversiti.