Bersama
Ke Arah Kecemerlangan Penafian : Jabatan Perkhidmatan Veterinar tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan sebarang maklumat yang terdapat di dalam Laman Web ini. |
Pilihan
Bahasa |
Malay
, English |
| |
| ARTIKEL | PENYAKIT TERNAKAN | NIPAH |
Ditulis oleh Administrator
1 July 2005
Berbagai penyakit telah dikenalpasti menyerang ternakan khinzir di Malaysia, antaranya yang penting ialah demam babi, penyakit Aujeszky’s, dan sindrom pembiakan dan pernafasan khinzir. Bagai manapun, sejak tahun 1998, satu penyakit baru pada khinzir telah dikenalpasti, dengan gejala penyakit seperti sindrom saraf dan pernafasan yang teruk, biasanya menyebabkan kematian pada khinzir dewasa. Penyakit ini kemudiannya dikenalpasti mempunyai hubung kait dengan wabak penyakit radang otak viral (viral encephalitis) di kalangan pekerja ladang khinzir. Pada masa yang sama, segala langkah kawalan penyakit Japanese enchepalitis, iaitu salah satu penyebab radang otak, telah tidak dapat mengawal bertambahnya pesakit radang otak di kalangan penternak khinzir tersebut.
Sejenis virus dari keluarga paramyxovirus, telah dikenalpasti sebagai penyebab penyakit ini, yang kemudiannya dinamakan penyakit Nipah – iaitu sempena nama sebuah kampung di Negeri Sembilan di mana virus ini telah pertama kali diasingkan. Khinzir, anjing dan manusia telah disahkan boleh dijangkiti oleh penyakit ini, sementara binatang lain seperti kucing, kuda atau kambing boleh juga terjangkit bergantung kepada kaedah pendedahan kepada penyakit ini. Asal jangkitan penyakit ini masih belum jelas, walaupun banyak diperkatakan bahawa sejenis kelawar pemakan buah adalah disyaki sebagai pembawa virus ini.
Virus Nipah telah disahkan sebagai penyebab wabak penyakit pada khinzir dan pada manusia di Semenanjung Malaysia. Antara hujung tahun 1998 sehingga bulan Mei 1999, penyakit merbahaya ini telah menyebabkan sebanyak 265 kes radang otak viral, mengakibatkan seramai 105 orang telah meninggal dunia, kebanyakan mereka adalah berhubung kait dengan aktiviti penternakan khinzir.
Ternakan khinzir yang terjangkit menunjukkan berbagai tanda penyakit yang berbeza, antaranya ialah gejala serangan sistem saraf pada khinzir betina dewasa dan gangguan teruk kepada sistem pernafasan pada khinzir muda penggemukan. Tempoh jangkitan adalah antara 7 hingga 14 hari. Walaupun kadar kematian adalah rendah, kadar jangkitan boleh mencapai 100%. Pada manusia pula, jangkitan penyakit ini menyebabkan demam panas, sakit kepala yang teruk, koma dan boleh meninggal dunia.
Penyakit ini mula merebak di kawasan Tambun, Ulu Piah dan Ampang di pinggir Bandaraya Ipoh, Perak. Ia kemudiannya merebak ke Sikamat, Sungai Nipah, Kampong Sawah, dan Bukit Pelandok di Negeri Sembilan; dan Sepang dan Sungai Buluh di Negeri Selangor. Pergerakan ternakan antara ladang dan antara negeri telah dikenalpasti sebagai kaedah merebaknya jangkitan penyakit ini. Semasa bermulanya wabak, ramai penternak di negeri Perak telah membuat jualan murah stok ternakan secara besar-besaran, menyebabkan sebahagian ternakan yang telah terjangkit dipindahkan di sekitar negeri Perak dan ke negeri lain seperti Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Johor.
Pada Fasa 1 dan Fasa 2, Kerajaan telah memutuskan polisi untuk membasmi penyakit di kawasan wabak dengan kaedah pemusnahan semua ternakan khinzir di kawasan wabak di Negeri Perak, Negeri Sembilan dan Selangor. Sejumlah 901,228 ekor khinzir dari 896 ladang telah dimusnahkan antara 28 Februari 1999 hingga 26 April 1999. Pemusnahan khinzir di kawasan wabak ini telah berjaya membendung jangkitan penyakit pada manusia di ketiga-tiga negeri tersebut.
Mulai bulan April sehingga Julai 1999, Program Ujian dan Survelan Virus Nipah Kebangsaan (Fasa 3), telah dilancarkan di seluruh negara, dengan tujuan untuk mengesan dan mengenalpasti ternakan khinzir yang telah terjangkit dengan virus Nipah dan membasmi penyakit merbahaya ini secara pemusnahan.