Sun, Apr 20, 2014
Text Size

header website bm

Abadikan haiwan peliharaan batu


WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Julai 2012
Abadikan haiwan peliharaan batu
Sebahagian koleksi lukisan di atas batu yang dihasilkan Suzi.

Penulis tidak pernah melihat lukisan di atas batu. Memang tidak pernah sekalipun. Namun, ketika menghadiri Pet World Event di Mid Valley baru-baru ini, penulis berpeluang melihat lukisan haiwan peliharaan seperti kucing, arnab dan anjing dilukis dengan sebegitu cantik di atas himpunan batu kecil berbentuk bulat dan leper.

Bagaikan tidak percaya bagaimana batu sekecil itu boleh dijadikan medium lukisan. Biasanya, batu sebegini dijadikan hiasan landskap di rumah. Namun ada juga yang meletakkannya di dalam
akuarium. Kekreatifan Suzi Chua yang mahir melukis di atas batu menarik perhatian ramai. Amat jarang melihat artis berkebolehan seperti dirinya.

Yang ramai sekarang ini adalah pelukis potret dan karikatur sahaja. Menurut Suzi, sejak zaman kanak-kanak lagi dia sudah mula meminati bidang lukisan, bidang yang paling disukainya selama ini. Dek minatnya itu, dia selalu membawa beg galas yang berisi segala peralatan melukis. Jika ada objek yang dilihatnya unik dan cantik, segera diambil alatan melukis dan terus melakarnya.
Itulah kehidupan harian Suzi semasa kecil.

Meningkat dewasa, Suzi masih lagi meneruskan hobi melukisnya itu. Walaupun di hambat kekangan kerja di pejabat, namun dia tetap melukis. Lukisan Suzi berbeza dengan mereka yang meminati bidang lukisan. Dia tidak pandai untuk melukis wajah seseorang apatah lagi untuk melukis objek tertentu. Dia hanya berbakat dan berkemahiran melukis haiwan peliharaan dan motif flora fauna sahaja.


Berbekalkan kesungguhan

Suzi gembira kerana setiap karya lukisan berbentuk haiwan diterima baik oleh sahabat handai dan orang ramai. Ramai yang membeli dan menggantungnya di dinding rumah. Ada juga yang membuat tempahan untuk dihadiahkan kepada insan tercinta. Bukan satu yang ditempah, tapi beberapa keping lukisan haiwan.

"Bergelar pet artist (pelukis haiwan peliharaan) memang sesuatu yang dinanti-nantikan selama ini. Tidak sangka pula ramai yang menyukai lukisan sebegini. Saya ingatkan masyarakat kita hanya gemarkan lukisan potret dan karikatur sahaja," katanya.

Menurut Suzi, tempahan lukisan haiwanpeliharaan memang tiada henti. Dia kadang kala tidak menang tangan untuk menghasilkan lukisan berkualiti mengikut kehendak pelanggan. "Waktu bekerja dulu memang tak sempatlah nak penuhi tempahan pelanggan. Tapi sejak bersara, saya gagahkan diri juga untuk melukis kerana ini adalah minat yang paling disukai," ujarnya.

Suzi berkata, dia mula menjinakkan diri dengan melukis lukisan di atas batu sejak lapan tahun yang lalu. Masa itu suaminya membeli himpunan batu kecil untuk dijadikan hiasan di halaman rumah.
Ketika mendapati ada lebihan batu yang tidak digunakan, Suzi mengambilnya dan terus melakar wajah kucing kesayangan. Siap lakaran, dia mengecatnya secara perlahan-lahan.

Setelah siap, suami dan anak memuji akan bakat dan kekreatifan yang ada pada diri wanita gigih ini. Dek seronok dengan hasil kerja barunya itu, Suzi terus meluangkan masa melukis wajah haiwan seperti katak, singa, burung, harimau, gajah dan rama-rama.

Segalanya diletakkan di salah satu sudut di halaman rumah. Apabila kalangan rakan datang, semuanya terkejut dan teruja, bagaikan tidak pernah melihat lukisan sedemikian. "Mereka puji dengan hasil lakaran yang saya buat itu. Ada yang mencadangkan supaya saya mengembangkan bakat ke peringkat seterusnya.

"Ada juga yang kata jadikan bidang lukisan sebagai perniagaan kerana tidak ramai yang ada bakat melukis di atas batu," katanya sambil tersenyum. Suzi memberitahu, melukis di atas batu adalah kerja seni yang sangat unik. Berbekalkan kesungguhan, ketekunan dan disiplin, pastinya beberapa lakaran haiwan di atas batu dapat disiapkan dengan cukup mudah.

Dia sebenarnya tidak belajar bagaimana untuk melukis di atas batu. Semuanya bermula secara spontan. "Mungkin disebabkan saya sudah mahir melukis di atas kanvas, jadi apabila diterjemahkan di atas batu segalanya tiada masalah," katanya yang menjalankan kerja melukis itu dari rumah sahaja.


Tanda penghargaan

Suzi memberitahu, segala koleksi lukisan di atas batu itu ditempatkan di rumah. Jika ada sebarang program berkaitan, dia akan turun padang dan mengadakan demonstrasi lukisan haiwan untuk tatapan semua pengunjung.

"Saya bawa sebahagian lukisan batu untuk dilihat dan di jual. Memang banyak permintaan. Kadangkala ada yang berkunjung ke gerai jualan saya ini bukan hanya untuk membeli lukisan sahaja, sebaliknya mahu menimba ilmu berkenaan penghasilan lukisan di atas batu," katanya.

Dia turut berkongsi pengalamannya dalam bidang lukisan itu berkata, ada seorang pelanggan dengan muka sedih datang berjumpanya. "Sambil menangis teresak-esak, dia meminta agar saya lukiskan lakaran kucing kesayangannya yang telah mati, di atas batu sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang buat haiwan yang dibelanya sejak beberapa tahun lalu.

"Apabila siap lukisan tersebut, dia membayar dan terus memeluk batu tersebut. Caranya itu membuatkan saya sebak. Kini barulah saya tahu ada pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk mengenang haiwan peliharaan kita yang telah pergi. Antaranya, dengan mengabdikannya dalam bentuk lukisan," ujar Suzie.

Ditanya cabaran sepanjang menghasilkan lukisan di atas batu, dengan pantas Suzi menjawab, dia tidak pernah berdepan cabaran yang pelik sepanjang menyiapkan lukisan. "Walaupun ada yang kata sukarnya untuk melukis terutamanya haiwan, namun saya tidak merasainya. Mungkin disebabkan saya ini seorang pencinta haiwan dan setiap kali melukis wajah binatang ini, hati begitu ceria dan tidak sabar-sabar.

"Sebab itu saya masih bertahan dalam bidang ini. Semuanya kerana cinta pada haiwan," akhiri Suzie. Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang lukisan di atas batu, boleh layari laman web www.suzichua.com.