Sat, Apr 19, 2014
Text Size

header website bm

Agrobank Tawar Pinjaman Modal Pertanian Tanpa Penjamin Dan Cagaran

MELAKA, 1 Ogos (Bernama) -- Agrobank mempelawa pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang pertanian dan industri asas tani yang memerlukan modal, mendapatkannya menerusi skim Mikro Pakej Rangsangan Ekonomi yang mempunyai dana sebanyak RM300 juta.

Pemangku Pengarah Urusan Agrobank, Ahmad Said berkata pinjaman tanpa penjamin dan cagaran itu, menawarkan pinjaman maksimum RM50,000 bagi kategori pengeluaran utama makanan manakala kategori pemprosesan, pemasaran dan peniagaan sehingga RM20,000.

"Sejak dilancarkan Jun lepas, masih terdapat kira-kira RM200 juta lagi untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan modal untuk projek berkaitan," katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan wang zakat perniagaan Agrobank 2008 di sini, malam tadi.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam merasmikan majlis berkenaan.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, kerajaan memperuntukkan RM300 juta melalui Agrobank sebagai pinjaman modal kepada rakyat untuk menceburi bidang pertanian dan industri asas tani.

Ahmad berkata peluang untuk mendapatkan modal itu perlu direbut segera, terutama golongan belia dan pekerja yang diberhentikan majikan berikutan kegawatan ekonomi, untuk menceburi bidang baharu.

"Kalau mereka berminat memelihara ayam, kambing dan lembu, menternak ikan dalam kolam atau bercucuk tanam tanaman kontan seperti pisang, jagung dan sebagainya, datang dapatkan pinjaman modal dari Agrobank," katanya.

Beliau berkata Agrobank menyediakan khidmat nasihat kepada mereka yang mahu mendapatkan pinjaman serta membuat pemantauan prestasi kemajuan projek yang dilaksanakan bagi memastikan mereka berjaya.

"Mereka yang berminat boleh menghubungi cawangan Agrobank yang berdekatan dan sekiranya memenuhi syarat yang diperlukan, pinjaman akan diluluskan dalam tempoh yang singkat," katanya.

Beliau berkata tempoh bayaran balik pinjaman adalah sehingga lima tahun.

Sementara itu, Agrobank yang dulu dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia (BPM) sebelum dikorporatkan pada April 2008, akan terus membangunkan sektor pertanian dan industri asas tani seperti matlamat asal penubuhan BPM.

Agrobank kini mempunyai 167 cawangan, termasuk kiosk, serta kakitangan seramai 2,800 orang, turut menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan selari dengan kehendak semasa.

Agrobank mengeluarkan zakat perniagaan sebanyak RM1,705,437 pada 2008 berbanding RM1,320,320 pada 2007.

Bayaran zakat perniagaan itu diserahkan kepada pusat pungutan zakat di seluruh negara.

Di Melaka, Agrobank membayar zakat perniagaan 2008 sebanyak RM33,687 kepada Pusat Zakat Melaka serta asnaf fakir dan miskin, anak-anak yatim dan beberapa buah masjid, katanya.

-- BERNAMA