Kerajaan Lindung Harimau Belang Untuk Elak Pupus
PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Majlis Biodiversiti-Bioteknologi Negara (MBBN) bersetuju menerima pakai Pelan Tindakan Harimau Kebangsaan bagi mengurus dan memulihara spesies harimau belang supaya ia tidak pupus.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mempengerusikan mesyuarat majlis itu Rabu, berkata berdasarkan pelan itu, pengurusan habitat haiwan itu akan diperkukuh dengan meningkatkan rangkaian koridor dan kawasan perlindungan hidupan liar.
"Pelan tindakan ini menyasarkan peningkatan populasi harimau belang kepada 1,000 ekor menjelang tahun 2020 dalam habitat asalnya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MBBN kali keenam di sini hari ini.
Statistik menunjukkan populasi spesies harimau belang di Semenanjung Malaysia dianggarkan 3,000 ekor pada sekitar 1950an tetapi kini hanya tinggal sekitar 500 ekor.
Muhyiddin berkata aktiviti penguatkuasaan dan kerjasama perlu terus dipertingkatkan antara kerajaan negeri dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dan Jabatan Perhutanan bagi membendung masalah pencerobohan ke kawasan hutan serta mencegah pemburuan haram.
Mesyuarat hari ini bersetuju supaya nama MBBN dipinda kepada Majlis Biodiversiti Negara dan urus setia bagi majlis itu diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Muhyiddin berkata mesyuarat itu turut bersetuju dengan cadangan visi bersama mengenai biodiversiti yang bertujuan meletakkan bidang itu dalam arus perdana pembangunan negara.
"Ini bermakna dalam segala sektor dan aktiviti berkaitan, biodiversiti harus diambil kira supaya pengurusan, pemuliharaan dan penggunaan secara berkekalan sumber-sumber itu akan menjadi lebih mantap," katanya.
Mesyuarat yang dihadiri menteri besar, ketua menteri dan menteri kabinet, yang menjadi ahli majlis itu, turut bersetuju menubuhkan Pusat Biodiversiti Kebangsaan bertujuan memperkukuhkan rangka institusi bagi pengurusan kepelbagaian biologi untuk memantap dan menyelaraskan pengurusan serta pemuliharaan biodiversiti di negara ini.
Muhyiddin berkata persetujuan dicapai agar projek pembangunan Pangkalan Data Spatial Bersepadu Biodiversiti Kebangsaan ke seluruh Semenanjung Malaysia (Fasa 1) dan kawasan perintis di Sabah dan Sarawak (Fasa 11) diperkemas dan dikembangkan.
Beliau berharap supaya semua agensi meningkatkan program kesedaran awam mengenai biodiversiti dipertingkatkan melalui program dikenali Communication, Education dan Public Awareness (CEPA).
-- BERNAMA