Perhilitan Rampas 59 Ular Sawa Untuk Pasaran Antarabangsa
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Jabatan Perhilitan merampas 59 ekor ular sawa hidup dan 65 kulit ular sawa serta kulit biawak bernilai RM30,000 yang dipercayai untuk pasaran antarabangsa dalam satu serbuan di sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan di Sg Pelek, Sepang, Isnin lepas.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan jabatan itu, Saharudin Anan berkata serbuan yang dilakukan oleh Unit Jenayah Hidupan Liar itu menemui spesis ular tersebut yang dipercayai dibeli daripada penjual yang tidak berlesen.
"Kami menemui 59 ekor ular sawa hidup (python retuculatus), 39 keping kulit ular sawa dan 26 keping kulit biawak yang dilindungi dibawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, Akta 76 di bahagian stor penyimpanan berasingan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini pada hari Rabu.
Beliau berkata mengikut siasatan awal ke atas pemilik premis berumur 40an itu mendapati peniaga tersebut mempunyai lesen perniagaan sebagai pemborong empat spesis ular termasuk ular sawa dan ular tedung.
Bagaimanapun, peniaga itu menyalahgunakan lesen dengan memborong ular daripada penangkap hidupan liar yang tidak berlesen.
"Seorang pembeli hidupan liar berlesen hanya boleh membeli hidupan tersebut daripada penangkap hidupan liar yang berlesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhilitan sahaja dengan kapasiti dan pembelian yang sah," katanya.
Beliau berkata ular tersebut selain dijadikan makanan, kulitnya digunakan untuk barangan kulit dan kebiasaannya diekport ke negara luar termasuk ke Singapura, Vietnam dan Hong Kong.
"Untuk ular sawa hidup, dagingnya dijual RM30 setiap satu kilo, manakala kulit ular pula dijual antara RM30 hingga RM50 ringgit bagi setiap satu meter dan kulit biawak pula dijual RM40 hingga RM50 setiap keping," katanya.
Saharudin berkata pihaknya telah mengambil keterangan peniaga tersebut dan siasatan lanjut akan dijalankan termasuk kemungkinan kaitan dengan pihak-pihak tertentu dalam pembelian dan penjualan hidupan tersebut.
Peniaga itu boleh dituduh atas empat kesalahan, iaitu memiliki ular sawa hidup dan kulitnya di bawah Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Untuk kesalahan melanggar syarat lesen di bawah Seksyen 97(e) Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, beliau boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau tidak melebihi satu tahun penjara atau kedua-duanya.
-- BERNAMA