Pengeluaran Susu Segar Di Sabah Dijangka Meningkat 9 Peratus Tahun Ini
KOTA KINABALU, 19 Nov (Bernama) -- Pengeluaran susu segar di Sabah dijangka mencapai sekurang-kurangnya 7.5 juta liter menjelang akhir tahun ini, iaitu meningkat sembilan peratus berbanding pengeluaran tahun 2008, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.
Dalam ucapan penggulungannya di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata sehingga Oktober tahun ini, pengeluaran susu segar telahpun mencapai 6.002 juta liter.
Katanya peningkatan pengeluaran itu berikutan langkah kerajaan menaikkan harga susu segar daripada RM1.50 seliter kepada RM2.50 seliter sejak Julai tahun lepas.
Langkah itu diambil kerana menyedari masalah yang dihadapi para penternak ekoran kemelesetan ekonomi, apabila pengeluaran susu segar pada 2008 merekodkan penurunan 17 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu sebanyak 6.88 juta liter berbanding 8.56 juta liter pada 2007, katanya.
Yahya berkata antara faktor yang menyebabkan penurunan itu adalah harga makanan tambahan lembu tenusu meningkat sebanyak 30 peratus tahun lepas, dan peningkatan sebanyak 40 peratus kos input perladangan.
Terdahulu, semasa sesi soal jawab, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Jahid Jahim berkata Taman Cabaran, iaitu kemudahan sukan yang mencabar bernilai RM5.3 juta di Kompleks Sukan Likas di sini, sudah 100 peratus siap dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.
Beliau berkata projek itu yang meliputi kemudahan seperti 'rock climbing', 'roller blade', trek basikal dan taman kanak-kanak, dibiayai sepenuhnya oleh syarikat milik kerajaan Sawit Kinabalu (RM3.3 juta) dan Perbadanan Tenaga Sabah (RM2 juta).
"Dengan adanya kemudahan demikian, maka para belia akan mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah dan dapat mengelakkan mereka daripada kegiatan sosial yang tidak sihat," katanya semasa menjawab soalan Datuk Harman Mohamad (BN-Sulabayan).
Jahid berkata kementeriannya telah membina kompleks-kompleks sukan dan gelanggang sukan di daerah-daerah bagi menggalakkan para belia menggunakan kemudahan berkenaan.
"Sabah mempunyai lapan buah kompleks sukan dan tiga lagi dalam pembinaan. Kementerian saya juga telah mencadangkan untuk membina Dewan Tertutup di setiap kawasan DUN Sabah dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk sukan seperti badminton, futsal dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA