JPV Sedia 15,000 Ekor Lembu Import Untuk Korban
KUALA TERENGGANU, 18 Nov (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyediakan kira-kira 15,000 ekor lembu import untuk tujuan korban pada Hari Raya Aidil Adha di seluruh negara yang akan disambut pada 27 Nov ini.
Timbalan Ketua Pengarah JPV (Pembangunan) Dr Ibrahim Embong berkata selain bekalan haiwan ternakan tempatan, ternakan juga akan diimport dari negara jiran Thailand.
"Saya rasa tidak ada masalah bekalan ternakan untuk hari raya korban nanti," katanya kepada Bernama di sini Rabu.
Dr Ibrahim berkata anggaran 10,000 ekor lembu akan dibawa masuk melalui Kelantan dan Perlis 5,000 ekor untuk tujuan korban.
Beliau berkata JPV menyediakan beberapa pusat kurantin di Kelantan dan Perlis selain pusat kuarantin swasta untuk pemeriksaan kesihatan ternakan yang dibawa masuk dari Thailand.
Katanya ternakan berkenaan akan diberikan suntikan ubat pencegah penyakit kuku dan mulut.
Beliau berkata harga seekor lembu dianggar antara RM2,300 dan RM2,500, bergantung kepada saiz ternakan berkenaan.
-- BERNAMA