Tiga Cedera Diserang Beruk Liar
KUANTAN, 23 Nov (Bernama) -- Tiga kanak-kanak cedera selepas diserang beruk jantan liar di Taman Murni, Sungai Isap dekat sini, Isnin dan semalam.
Fatini Sakira Ahmad Safri, 2, diserang beruk itu pada kira-kira 8 pagi ini manakala dua lagi iaitu, Khairul Azwan Khairudin, 14, dan Nuha Nurfaiqah Sheikh Akhbar, 7, dikatakan diserang beruk yang sama Ahad malam.
Fatini Sakira cedera di pangkal paha dan tangan kirinya selepas diserang beruk liar terbabit ketika sedang bermain bersama kakaknya di dalam rumah datuk mereka, manakala Khairul Azwan ketika makan bersama keluarganya di warung berhampiran rumah mereka.
Nuha Nurfaiqah pula diserang beruk itu ketika berada di rumah ibu saudaranya di taman berkenaan.
Datuk kepada Fatini Sakira, Mohamad Yassin Khalid, 62, berkata beruk itu memasuki rumahnya menerusi pintu hadapan yang tidak ditutup.
"Ketika itu saya hendak keluar membeli sarapan pagi apabila mendengar cucu saya menjerit dan segera masuk semula ke dalam rumah dan mendapati beruk itu sedang menggigit cucu saya.
"Saya mengambil sebilah parang untuk menghalaunya keluar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Khairul Azwan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin menerima enam jahitan di lengan kanannya yang digigit beruk itu pada kira-kira pukul 9 malam tadi.
Setengah jam selepas itu, beruk yang sama dikatakan menyerang Nuha Nurfaiqah yang ketika itu baru tiba di rumah ibu saudaranya di taman berkenaan, menyebabkan murid Sekolah Kebangsaan Jaya Gading itu cedera di kedua-dua tangan dan kaki kanannya.
"Ketika kejadian, anak saya sedang memegang coklat dan secara tiba-tiba diserang beruk itu," kata ibu kanak-kanak itu Nor Jahan Ahmad, 38.
Beliau berharap pihak berkuasa segera menangkap beruk terbabit bagi mengelak kejadian yang lebih buruk berlaku.
-- BERNAMA