JPV negeri sedia bantu
MELAKA 9 Feb. - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri ini komited bagi membantu penternak tempatan khususnya dari segi khidmat nasihat yang diperlukan. Pengarah JPV negeri, Dr. Rohaya Mohd. Ali berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penternak yang ingin mendapatkan bantuan bagi memajukan lagi perusahaan mereka. ''Pihak kami akan sentiasa memberi bantuan kepada penternak yang datang ke pejabat veterinar di setiap kawasan atau daerah. Penternak akan diberi sesi kaunseling dan pegawai yang berkenaan akan menjawab segala persoalan yang menjadi kemusykilan penternak," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini. Menurutnya, JPV juga ada mengadakan pemantauan ke ladang-ladang ternak bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik. ''Pemantauan tersebut termasuklah dari segi kebersihan dan kesihatan haiwan ternakan di samping pengurusan. ''Penternak tempatan juga boleh mendapatkan bekalan perubatan seperti suntikan vaksin untuk mengelakkan jangkitan kuman," katanya. Mengulas mengenai haiwan ternakan biri-biri dan kambing yang mendapat permintaan tinggi, Dr. Rohaya berkata, penjualan haiwan ternakan seperti itu semakin positif. ''Jumlah ternakan kambing dan bebiri meningkat pada tahun 2008 berbanding 2004 walaupun bilangan penternak haiwan ternakan itu hanya 10 peratus daripada keseluruhan penternak di negeri ini. Oleh itu, JPV begitu komited dalam memastikan pertumbuhan jumlah ternakan ini dapat diperkembangkan," katanya.