Jumaat, September 10, 2010
   
Text Size

Kenapa salahkan lembu terbiar 'melepak' di atas jalan raya?

SEREMBAN 2 Mac - Kisah lembu terbiar di Kampung Ibol, Terachi, Kuala Pilah serta kawasan lain di sekitar daerah Rembau dan Tampin tidak memerlukan seorang 'penglipurlara' untuk memulakan ceritanya.

Sebaliknya, ia boleh diceritakan oleh sesiapa sahaja, sama ada di kedai kopi, meja perbincangan yang berhawa dingin, mahupun ketika anda sedang memandu kenderaan.

Semuanya akan menyalahkan lembu berkenaan kerana 'tidur' di atas jalan raya, membuang najis merata-rata tempat dan paling malang banyak nyawa yang melayang akibat si haiwan yang 'tidak reti bahasa' ini.

Namun begitu, lembu bukan bersifat seperti manusia yang boleh berfikir dan ada otak untuk melihat semua masalah ini.

Maka adalah dituntut supaya tuan punya lembu lebih bijak menguruskan haiwan ternakan masing-masing dan pada masa yang sama pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), Majlis Daerah Tampin (MDT) serta Majlis Daerah Rembau (MDR) bertegas dalam soal ini.

Sebenarnya isu lembu ini adalah isu 'lapuk' yang tiada berkesudahan. Apabila ada mangsa yang tersungkur, barulah terkejar-kejar mencari 'ubat pelali' menghambat si lembu yang malang ini.

Seperti kisah di Kampung Ibol, Terachi; Kampung Beting dan Jalan Kuala Pilah-Bahau, pengguna jalan raya terpaksa mengelak haiwan ternakan ini daripada dirempuh.

Haiwan ini, khususnya lembu tidak dikawal dan dibiarkan bebas berkeliaran sehinggalah ada juga kerbau yang duduk di atas jalan raya pada waktu malam dan membahayakan pengguna.

Janganlah kisah lembu ini dilihat sebelah mata atau menjadi bahan ketawa kerana sudah banyak kali laporan diterima berhubung kemalangan jalan raya akibat haiwan yang tidak dijaga ini.

Bukan sahaja lembu, tetapi kerbau dan kambing juga termasuk kategori yang mengancam keselamatan jalan raya.

Namun begitu, tidak pula dinafikan sudah wujud pelbagai usaha yang dijalankan pihak berkuasa dalam menangani kehadiran haiwan ternakan tanpa tuan di lokasi yang tidak sepatutnya.

Lebih melucukan apabila operasi MDKP baru-baru ini di Kampung Ibol, Kuala Pilah untuk menangkap haiwan ternakan berkeliaran ini telah dibocorkan maklumatnya sehinggakan tuan punya haiwan 'reti' cara menyelamatkan haiwan ternakan mereka.

Kalaulah kisah menangkap haiwan ternakan ini pun boleh tiris maklumatnya, sudah tentulah banyak lagi kisah yang tiris sehingga beberapa operasi yang lain sukar untuk dibanteras.

Kisahnya di Kampung Ibol itu, tiada seekor pun lembu atau kerbau terbiar di atas jalan raya, walaupun sebelum ini kehadiran haiwan ternakan itu sukar dibilang jumlahnya.

Inilah kisah 'orang kita' apabila digertak baru hendak bertindak. Cubalah dijaga betul-betul haiwan ternakan sebagaimana 'lesapnya' pada hari operasi yang dijalankan oleh pihak MDKP.

Melalui statistik MDKP tahun 2008, jumlah haiwan ternakan yang terbiar adalah sebanyak 29 ekor, di mana 18 ekor telah ditebus oleh pemiliknya dan 11 ekor lagi telah dilelong.

Pada tahun lalu, MDKP mencatatkan sejumlah 46 ekor haiwan ternakan dirampas dengan 32 daripadanya telah ditebus oleh pemiliknya dan 14 ekor lagi telah dilelong.

Saya percaya dan yakin, kerajaan negeri juga ada perancangan untuk menghalakan haiwan ternakan terbiar ini dalam satu kawasan 'belaan' yang lebih baik tanpa boleh dituntut lagi oleh pemiliknya sebaik dirampas pihak berkuasa.

Oleh yang demikian, kisah lembu, kerbau dan kambing yang terbiar ini bukannya agenda melawak mahupun bahan menyalahkan 'kau' atau 'aku'.

Marilah tengok sama-sama isu ini atau kita buatlah gerakan seluruh negeri terhadap bahayanya haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

National Geographic

Login Form